Sepuluh Wasiat Untuk Para Murabbi Qudwah


Sepuluh Wasiat Untuk Para Murabbi Qudwah

Nukilan: Sheikh Mohamed Hamed Elawa

Terjemahan: UsTACZ

الحمد لله العلي الكبير اللطيف الخبير ،والصلاة والسلام على قدوة المربين وسيد الداعين إلى الله على بصيرة والمجاهدين فيه بإحسان ، وعلى آله وأصحابه ومن والاه  وبعد,

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummiyyin (yang tidak tahu membaca dan menulis) seorang Rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.

(Surah al-Jumu’ah: 2)

Sesungguhnya Tuhannya telah mentarbiyahnya, maka DIA-lah sebaik-baik yang mentarbiyah. Lalu DIA menjadikan akhlaknya selari dengan al-Quran. Nabi SAW menjadi qudwah terbaik bagi para sahabat dan pengikutnya melalui tutur katanya, perbuatannya dan keadaan hal ehwalnya keseluruhannya. Begitu juga dalam aqidah, ibadah, akhlak, muamalat serta tingkahlakunya. Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

(Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW qudwah terbaik).

Dia (Rasulullah SAW) adalah sebaik-baik murabbi dari sudut rabbaniyyahnya; menggauli, bermuayasyah dengan mereka (para sahabat), mempersaudarakan antara mereka, memberi arahan dan tarbiyah yang terbaik buat mereka, mengagihkan tenaga kepakaran mereka secara bijaksana, lalu dengan itu mereka berubah daripada golongan awam biasa yang terpedaya menjadi pemimpin yang mampu mencipta kemenangan. Kenapa? Kerana Rasulullah SAW adalah murabbi qudwah yang amat prihatin dan berlemah lembut dengan mereka para pengikutnya. Firman Allah SWT:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”.

(Surah at-Taubah: 128)

Kedudukan Tarbiyah Dalam Medan Dakwah

Tarbiyah dalam kontaks dakwah merupakan perkara utama dan terpenting. Ia menjadi petunjuk dan dikira sebagai perkara thawabit (prinsip tetap) dalam agenda pengislahan , perubahan, pembinaan dan pembentukan. Itulah dia jalan bagi pembentukan individu muslim. Individu yang terbentuk inilah yang akan membentuk rumahtangga muslim qudwah, seterusnya membentuk masyarakat muslim harapan dan kerajaan Islam harapan. Imam al-Banna Rahimahullah telah menfokuskan prinsip tarbiyah dan takwin ini dalam konsepnya yang syumul, katanya:

كوّنوا أنفسكم تتكوّن بكم أمتكم

“Bentuklah diri kamu, nescaya akan terbentuklah melalui kamu umat kamu”.

العمل مع أنفسنا هو أول واجباتنا ، فجاهدوا أنفسكم واحملوها على تعاليم الإسلام وأحكامه ، ولا تتهاونوا معها في ذلك بأي وجه من الوجوه

“Beramal dengan diri kita sendiri adalah kewajipan pertama kita, maka bermujahadahlah dengan diri kamu, bawalah ia mengikuti pengajaran Islam dan hukum hakamnya, jangan kamu meremehkannya dalam apa jua keadaanpun”.

Berkata Ustaz Mustafa Masyhur Rahimahullah:

لقد أثبتت الأحداث والأيام أنه بقدر الاهتمام بالتربية تتحقق الأصالة للحركة ، واستمراريتها ونموها ، ويكون التلاحم بين الأفراد ووحدة الصف …. ، وعكس ذلك إذا أهمل جانب التربية أو حدث فيه تقصير، يظهر الضعف والخلخلة فى الصف ، ويبرز الخلاف والفرقة ويتضائل التعاون ويقل الانتاج

“Sesungguhnya peristiwa-peristiwa dan hari-hari yang telah berlalu  membuktikan bahawa keaslian harakah berkait rapat dengan keprihatinan terhadap tarbiyah. Keprihatinan terhadap tarbiyah menjamin kesinambungan dan kesuburan harakah, dan ia juga menjadi unsur kesatuan di antara individu dan safnya…. Begitulah pula sebaliknya, bilamana sudut tarbiyah diabaikan atau berlaku kecacatan dalam aspek tarbiyah, maka akan lahir fenomena kelemahan di dalam saf, seterusnya ia boleh menyebabkan berlaku perselisihan, perpecahan, lemahnya kerjasama yang akhirnya membawa kepada berkurangnya produktiviti”.

Kedudukan Murabbi Di Medan Tarbiyah

Murabbi adalah paksi dalam operasi tarbiyah, ia juga satu rukun terpenting, bahkan ia adalah batu penjuru dalam binaan dakwah ini seperti perumpamaan yang dinyatakan Imam al-Banna ketika membincangkan soal usrah dan naqibnya:

هي قاعدة الأساس فى بناء دعوتنا ، ونقيبها هو حجر الزاوية فى هذا البناء

“Ia adalah kaedah asas dalam binaan dakwah kita, sementara naqib usrah adalah batu penjuru dalam binaan ini”.

Justeru harapan dan cita-cita tarbiyah dan takwin amat bergantung kepada peranan murabbi. Ia bergantung kepada sejauhmana murabbi menjiwai peranannya, menekuni usaha, mengesani qudwah dan muayasyah bersama ikhwannya, keprihatinannya terhadap dakwah dan risalahnya. Sesungguhnya operasi tarbiyah akan bertambah mantap dan mendalam kesannya jika usaha yang disebut di atas diperkasakan, tentunya setelah diberi taufiq dan bantuan daripada Allah SWT.

 

Di sini kami ingin menyenaraikan beberapa wasiat umum yang wajib dititikberatkan oleh murabbi qudwah agar peranan tarbawinya efektif. Wasiat ini merangkumi tiga sudut asas dalam binaan takwin murabbi. Antaranya yang berkaitan;

  1. Peribadi murabbi, jiwa dan pembinaannya.
  2. Peranan murabbi, kemahiran tarbawi.
  3. Peranan murabbi menguruskan ikhwannya, amal dakwah yang berkait dengan tugasnya sebagai murabbi.

Berikut adalah 10 wasiat bagi murabbi qudwah:

  1. Murabbi mestilah mengambilberat hal keadaannya bersama tuhannya. Dia mesti memperuntukkan masa bagi dirinya. Maka hendaklah dia memelihara dirinya, berusaha mensucikannya dengan penuh keyakinan yang benar dan memastikan ibadat yang dilaksanakan sah di sisi Allah SWT.

Maka dia mestilah memberi perhatian yang serius dalam semua perkara yang boleh meningkatkan rohnya serta memastikan dia sentiasa berada dekat dengan tuhannya kerana kejayaannya mentarbiyah ikhwannya amat bergantung kepada kejayaannya mentarbiyah dirinya.

 

Di antara wasiat Imam al-Banna ialah;

ميدانكم الأول أنفسكم ، فإذا انتصرتم عليها كنتم على غيرها أقدر، وإذا أخفقتم فى جهادها كنت على سواها أعجز، فجربوا الكفاح معها اولاً

“Medan pertama kamu ialah diri kamu sendiri. Maka apabila kamu berjaya pada medan pertama ini, nescaya kamu akan berjaya di medan yang lain, sebaliknya jika kamu lokek untuk berjihad dengan diri kamu, maka kamu akan lebih lemah di medan yang lain. Ayuh! Singsing lengan kalian untuk memenangi jihad bersama diri sendiri dahulu”…

Apabila seorang murabbi menganggap bahawa dia mampu mengubah ikhwannya sedang dia sebenarnya tidak mampu untuk mengubah dirinya sendiri, maka ia dikira sebagai kealpaan yang membinasakan.

Benarlah pepatah yang mengatakan;

لاتُحسم معارك الميدان قبل حسم معارك الوجدان

“Pertempuran di medan tidak boleh dicapai sebelum pertempuran di dalam jiwa diraih”.

وأول ميادين تربية النفس التربية الإيمانية, فهي المحرك لكل خير والدافع لكل رشد

Ketahuilah bahawa medan pertama tarbiyah diri ialah tarbiyah imaniyah. Ia adalah dynamo segala kebaikan dan menjadi faktor terkuat untuk melakukan sesuatu perkara.

Murabbi mesti tahu bahawa tarbiyah adalah bekalan dan pemberian. Sesungguhnya dia tidak akan mampu untuk sentiasa memberi untuk ikhwannya jika dia tidak memiliki bekalan yang berterusan.

Allah SWT berfirman:

وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى

“Dan berbekallah kamu, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah taqwa”.

Binaan iman serta ta’abbud (ibadat) seorang murabbi adalah saham terpenting untuk

takwin sahsiah rabbaniyyah yang hatinya tertakluk dengan penciptanya (Allah SWT), dan tidak akan tertipu dengan hiasan dunia berupa kecantikan, pangkat dan gelaran. Iman itu jugalah yang membantunya memperbanyakkan ibadat, solat-solat sunat dengan khusyuk dan khudhu’, memperbanyakkan zikir dan doa, tilawah al-Quran dan

mentadabbur maknanya.

  1. Hendaklah akhi murabbi menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia, menjaga reputasi yang baik dan menjaga muamalah sesuai dengan qudwah yang telah ditunjukkan oleh kekasihNya Nabi Muhammad SAW. Dengan demikian murabbi tersebut mampu membuka ruang/memberi kelapangan kepada ikhwannya dengan akhlaknya.

Di dalam hadis Nabi SAW bersabda:

إِنَّكُمْ لَا تَسَعُونَ النَّاسَ بِأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ لِيَسَعَهُمْ مِنْكُمْ بَسْطُ الْوَجْهِ، وَحُسْنُ الْخُلُقِ

“Sesungguhnya kamu tidak mampu memberi kelapangan kepada manusia dengan harta kamu, akan tetapi kelapangan itu boleh kamu lakukan hanya melalui senyuman dan akhlak yang baik”.

Antara akhlak asas yang perlu dimiliki oleh para murabbi ialah akhlak sabar, berlapang dada, lemah lembut, rahmah, rendah diri, suka memaafkan kesalahan.

Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitar kamu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah keampunan buat mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu, kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal”.

(Surah Ali- Imran: 159)

 

Manusia menjadi tawanan perlakuan ihsan (baik) seseorang. Dan hati sentiasa menerima baik para muhsinin (orang baik) dan akan berada di sekitarnya. Lihat saja pengajaran dari kisah teman sepenjara Nabi Yusof alaihissalam, Allah SWT berfirman:

إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

“Sesungguhnya kami lihat kamu adalah tergolong dari kalangan orang-orang yang baik (muhsinin)”.

Sebagaimana kita memberi kelapangan dengan akhlak, kita juga mentarbiyah mereka dengan akhlak secara praktikal melalui pandangan mereka terhadap kecantikan tindaklaku kita. Dengan demikian bolehlah kita simpulkan dengan suatu hakikat bahawa;

“Akhlak murabbi adalah ibadah yang mampu membawanya bertaqarrub kepada tuhannya, ia adalah jalan untuk mentajmi’ semua hati ikhwannya, dan merupakan medan untuk mentarbiyah ikhwannya serta mentakwin muridnya”.

  1. Hendaklah akhi murabbi itu berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu bermanfaat untuk dirinya dan dilimpahkan kepada ikhwannya. Kerana murabbi juga berfungsi sebagai ustaz (guru) dari sudut pengisian ilmu sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Banna:

أستاذ بالإفادة العلمية

“Murabbi itu adalah ustaz (guru) dari sudut pengisian ilmu”.

Ilmu yang kita maksudkan bukan hanya ilmu yang dihafal dan menguasai beberapa buah buku –sekalipun ia dianggap penting- Namun yang lebih penting ialah bagaimana ilmu itu boleh dimanfaatkan sebagaimana sepatutnya. Justeru penekanan yang harus diberi kepada setiap bab dari ilmu tersebut ialah tentang kepentingannya di sudut amal tarbawi dan disiplinnya. Paling utama ialah bagaimana ilmu tersebut dipraktikkan. Memanfaatkan ilmu di sini bukan hanya teorinya semata-mata, tetapi ia harus melampaui kepada pengalaman amali yang merupakan terjemahan sebenar kepada hakikat ilmu tersebut.

  1. Hendaklah akhi murabbi berusaha sedaya upaya mengembangkan potensi dirinya sendiri. Antaranya berusaha memahirkan diri dengan beberapa ilmu kemahiran asas seperti; perancangan tarbawi, menyelesai masalah, pembentangan dan penyampaian, berdialog dan berbincang, mutaba’ah dan penilaian tarbawi, pembahagian tugas, menanam nilai, merubah tingkahlaku… dsb. Akhi murabbi juga harus menguasai manhaj marhalah yang dilaksanakannya, bagaimana mengoperasi manhaj agar mencapai objektifnya, bagaimana melaksanakan pelbagai wasail tarbiyah agar mencapai objektifnya masing-masing.

Di antara ilmu tambahan (penyempurna) bagi para murabbi ialah ilmu untuk mengenali sahsiah manusia; ciri-ciri dan cara bagaimana berinteraksi dengan setiap kategori itu, kemudian hendaklah dia menguasai tentang medan-medan amal dakwah dan peluang yang perlu dimainkan agar dia mampu memberi taujihat yang bersesuaian dengan kemampuan mereka (mutarabbi).

  1. Murabbi hendaklah berusaha melaksana dan memperdalamkan mu’ayasyah bersifat tarbawi bersama mutarabbinya sama ada secara fardi atau jamaie. Mu’ayasyah ini tentunya akan membantu untuk merealisasikan tiga rukun usrah (ta’aruf, tafahum dan takaful), memperkasakan hubungan hati dan penyatuan perasaan di antara anggota usrah dan sebagai persediaan membentuk bi’ah (suasana) yang membantu menyuburkan tarbiah. Justeru,  murabbi berpeluang berta’aruf secara dekat dengan mutarabbinya untuk memastikan potensi dan keupayaannya, secara tidak lansung dapat berperanan mengikut kesesuaiannya serta dapat mengenal pasti permasalahan dan kesukaran yang dihadapi selain berusaha mencari titik penyelesaiannya.

Demi merealisasikan mu’ayasyah di antara suasana keterbukaan yang terkawal dan pergaulan tarbawi yang berobjektif, mestilah dipelbagaikan wasilah, aktiviti dan metodologinya agar murabbi dapat melihat mutarabbinya di dalam situasi berbeza. Tujuannya agar mutarabbi mampu membentuk tarbiah yang efektif dan taujih yang diberikan hasil mu’ayasyah secara praktikal dalam realiti mutarabbi tersebut. Kesimpulannya boleh dikatakan bahawa; “Mu’ayasyah yang mendalam adalah asas tarbiah yang sebenar”.

  1. Murabbi hendaklah mentarbiah mutarabbinya di sudut iman dan ibadat melalui tazkiah (pembersihan) jiwa dengan ketaatan dan jenis ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah untuk merealisasikan ubudiah kepada Allah. Semua itu mampu dicapai dengan mengikhlaskan hati kepada Allah, membetulkan niat dalam setiap perkataan dan amalan tanpa memandang kepada habuan, gelaran, pangkat dan sebagainya. Selain itu, mutarabbi dapat meningkatkan diri mereka serta menaikkan ruh jihad dan pengorbanan jiwa, harta dan masa di jalan Allah. Allah berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 111:

إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka kerana bagi mereka ada balasan syurga”.

Kemudian memperdalamkan di dalam diri mereka perasaan tajarud terhadap dakwah dan fikrah mereka, iaitu Islam yang tulen kerana pengorbanan, jihad dan tajarud menuntut ruh jundi (ketenteraan). Maka menjadi tanggungjawab para murabbi mentarbiah mutarabbinya untuk mendengar dan taat di dalam situasi apa pun; susah, senang, cergas atau terpaksa dalam perkara bukan maksiat di samping membiasakan mereka menunaikan tugasan masing-masing dengan sempurna.

  1. Murabbi hendaklah berusaha menanamkan makna ukhuwah dan kasih sayang kerana Allah di antara ikhwah secara praktikal, bukan teori kerana ukhuwah adalah rahsia kekuatan seperti yang telah dinyatakan oleh Imam Al-Banna. Hendaklah murabbi berusaha menanam prinsip thiqah di jalan dakwah. Perkara paling asas ialah thiqah kepada qiadah, thiqah kepada manhaj, thiqah sesama ikhwah sepanjang jalan dakwah, thiqah kepada pertolongan Allah untuk memenangkan agama ini.

Murabbi juga hendaklah berusaha menanam pengharapan tinggi dengan bantuan Allah kepada hamba-hambaNya yang soleh, sentiasa memberi pencerahan tentang perjalanan dakwah ini dengan menekankan pentingnya thabat walaupun dilanda mehnah, ujian dan fitnah sama ada dalam situasi kesusahan dan kesenangan. Allah berfirman:

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Dan Kami akan timpakan ke atas kamu ujian dengan keburukan dan kebaikan sebagai fitnah untuk kamu, dan kepada Kami jua kamu dikembalikan”.

Di antara kewajipan murabbi juga ialah menerangkan kepada ikhwan tentang penyelewengan fikrah dan harakah yang akan menjauhkan mereka dari jalan dakwah agar mereka berhati-hati kerana kebiasaannya penyelewengan tersebut bermula dari perkara yang kecil, kemudian bertambah sedikit demi sedikit dengan berlalunya masa.

  1. Hendaklah murabbi mengetahui potensi dan keupayaan ikhwahnya, lalu berusaha sedaya upaya mengagihkan peranan untuk memberi khidmat kepada dakwah serta mengajak mereka agar bergerak dan bekerja. Perkara itu boleh dilaksanakan melalui program secara praktikal. Murabbi qudwah sepatutnya tidak boleh menerima mereka yang tidak menjiwai kepentingan dakwah dan tidak bekerja untuk dakwah. Antara faktor yang boleh membantu murabbi ke arah itu ialah mempergiatkan pergaulan, mu’ayasyah serta memperkenalkan mereka medan dan bidang dakwah yang banyak.

Murabbi hendaklah memberi latihan amali bagaimana cara melaksanakan dakwah dengan betul di pelbagai medan; rumahtangga, jiran tetangga, keluarga terdekat, di tempat belajar, di tempat kerja dengan menfokuskan di medan yang sesuai dengan kemampuan dan situasi mereka. Umpamanya di kalangan remaja, pelajar atau menyebarkan dakwah atau melakukan kebajikan dan khidmat untuk masyarakat dan sebagainya, mengikut struktur jawatankuasa dan unit kerja di dalam Jemaah.

  1. Murabbi hendaklah menyediakan mutarabbinya biah (suasana) tarbawi yang akan menyuburkan tarbiah mereka mengikut manhaj marhalah. Untuk itu aktiviti yang dilaksanakan tidak seharusnya terhad dalam lingkungan usrah sahaja, akan tetapi mestilah menjangkau wasilah-wasilah lain yang tidak kurang pentingnya seperti daurah, nadwah, mukhayyam, katibah dan lain-lain secara jamaie. Penyediaan biah yang kondusif  bagi menyuburkan tarbiah ini hendaklah disusuli dengan mutaba’ah yang akan menilai pertumbuhan mereka berdasarkan manhaj marhalah sesuai dengan prinsip ‘Tarbiah Berdasarkan Objektif’. Justeru mereka yang terkehadapan akan dapat diperkasakan disamping mereka dapat memberi aspirasi kepada mereka yang lemah.

Melalui proses ini juga, murabbi hendaklah menyeimbangkan di antara dua metodologi tarbiah fardiah dan jamaiah berpaksi kepada prinsip ‘perbezaan peribadi’ dalam tarbiah tanpa mengabaikan aspek peningkatan jati diri dalam diri setiap mutarabbinya. Hal ini kerana,  ia adalah salah satu konsep tarbiah fardiah. Tarbiah fardiah itu termasuklah aspek ibadat, kemasyarakatan, dakwah dan sebagainya tetapi dalam lingkungan disiplin harakah dan tanzim.

  1. Murabbi hendaklah mengumpulkan hati ikhwahnya di sekitar dakwah serta thiqah pada jalannya (qiadah – manhaj – individu), disamping mentarbiah mereka agar terlaksana intima’ sebenar kepada dakwah secara (perasaan – fikiran – tanzim). Mutarabbi mesti ditarbiah agar memahami bahawa mereka adalah pendokong dakwah, justeru wajiblah mereka berfikir untuk dakwah, menasihati juga untuk dakwah dan menjunjung cita-cita dakwah. Demikian juga wajib para murabbi membakar semangat ikhwahnya agar sama-sama menyumbang pandapat, pemikiran untuk mengembangkan gerak kerja ini dengan menanamkan prinsip ‘Agama itu adalah nasihat’ secara beradab dan berdisiplin.

Murabbi hendaklah mentarbiah mereka bagaimana untuk bersyura (bermesyuarat) secara ilmiah dan praktikal bertunjangkan adab dan mekanisma yang betul. Kita berdoa kepada Allah SWT supaya DIA menolong memberi kemenangan kepada dakwah kita, menyebarkan fikrah kita, memberkati ukhuwah kita, memberi taufiq pimpinan kita, menghimpunkan kita semua di atas kalimah kita yang benar. Begitu juga kita berdoa kepada Allah SWT agar DIA mengikhlaskan niat kita, menerima amalan kita dan menjadikan semua amalan kita itu pada timbangan kebaikan di hari kiamat nanti… Allah berfirman:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُحْضَرًا

Maksudnya: “Pada hari di mana kamu akan mendapati setiap jiwa memperolehi segala perkara yang dilakukan di dunia dahulu dihidangkan di hadapan masing-masing”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s