AJARAN WAHABI BUKAN KEFAHAMAN ULAMA’ SALAFUSSOLEH


AJARAN WAHABI BUKAN KEFAHAMAN ULAMA’ SALAFUSSOLEH

Muzakarah Ulamak Negeri Kelantan 2021 & Ijtimak Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan 2022 bangkit:

– menyokong dan menegaskan manhaj Ahli Sunnah dan Jama’ah Al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah

menolak ajaran dan fahaman Wahhabi.

——–

Artikel Penuh:

AJARAN WAHABI BUKAN KEFAHAMAN ULAMA’ SALAFUSSOLEH

Oleh:

Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang

Timbalan Pengerusi JABHAH Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan

Pondok-pondok negeri Kelantan merupakan suara denyut nadi rakyat Kelantan dengan jolokan nama Serambi Mekah yang amat sesuai dengan perkembangan Islam dan kedudukan ulamanya.

Merujuk [kepada] Muzakarah Ulamak Negeri Kelantan 2021 anjuran Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) dan Jabhah Pondok Kelantan pada 19 Disember tahun lalu bertempat di Pejabat Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB), Wisma Pondok Pasir Tumboh, Kelantan.

[Dan] Selain itu, Ijtimak Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan Kali Pertama diadakan pada 19 Mac [2022] lalu bertempat di Pondok Darul Muttaqin, Pasir Puteh, Kelantan.

Hasil Muzakarah Ulamak Negeri Kelantan menegaskan bahawa:

– ajaran Wahabi jelas bercanggah dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Asya’irah dan Maturidiah) dan

– ia (Wahhabi) juga bertentangan dengan mazhab Muktabar dalam bab fiqah.

– Penyelewengan ajaran Wahabi adalah pada sudut akidah, fiqah dan tasawuf.

– Ajaran Wahabi bukan kefahaman ulama Salafussoleh.

Berdasarkan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan secara jelas bahawa pengertian dalam bahagian 4 (1) “Ahlus Sunnah Wal Jamaah” maknanya ialah mazhab Abu Al-Hassan Al-Ash’ari dan Abu Mansoor Al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak Langkah keduanya .”

Ini adalah pegangan ulama Nusantara antaranya seperti Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Abdullah Fahim, Tok Kenali dan ramai lagi ulama terutama daripada kalangan ulama pondok terutama dari Kelantan.

Justeru itu, maka ajaran Wahabi Salafi (Wahhabiyyah Mujassimah) yang dibawa oleh sesetengah pihak adalah jelas bercanggah dengan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang mewartakan Asya’irah dan Maturidiah sebagai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.

Bahawasanya kami Kesatuan Pondok Negeri Kelantan sepakat menyatakan pendirian kami dalam Ijtimak Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan Kali Kedua ini:

Selaras dengan peruntukan 4 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang telah mengaris-ertikan “Ahlus Sunnah Wal Jamaah” maknanya ialah Mazhab Abu Hassan al-Asha’ari dan Abu Mansoor al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya.”

Begitu juga dengan peruntukan di bawah Seksyen 37 (1) dan (2) bagi Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK):

1. Kewajipan memperkukuhkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut pegangan dan huraian Mazhab Asha’irah dan Maturidiah serta menolak fahaman dan huraian yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman syiah, muktazilah, khawarij, wahabi (mujassimah), liberalisme, pluralisme dan lain-lainnya.

2. Begitu juga semua calon untuk pilihan raya akan datang dipastikan terdiri daripada individu yang tidak berpegang, mengamalkan atau menyebarkan fahaman dan amalan yang bertentangan dengan fahaman dan huraian Mazhab Asha’irah dan Maturidiah.

3. Pihak berkuasa negeri perlu membuka ruang serta memperbanyakkan peluang bagi ulama pondok terbabit dalam program untuk mengadakan pengajian kitab secara talaqqi seperti program Madinah Ramadan dan Medan Ilmu.

4. Perlu dihapuskan mata pelajaran secara formal dan tidak formal (seperti usrah) yang mempunyai huraian akidah yang menyalahi prinsip Mazhab Asha’irah Maturidiah seperti huraian akidah bertunjangkan pembahagian tauhid kepada tiga, Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Asma wa as-Sifat.

5. Pihak berkuasa negeri perlu memastikan lantikan pegawai-pegawai strategik agensi/institusi agama seperti JHEAIK dipilih daripada kalangan yang mendukung Mazhab Asha’irah dan Maturidiah. Begitu juga dengan aktiviti dan penerbitan rasmi agensi/institusi agama seperti JHEAIK hendaklah dipastikan tidak bercanggah dengan peruntukan yang terdapat pada Undang-undang Tubuh Negeri yang dirujuk.

6. Pihak berkuasa juga diharapkan mewujudkan peruntukan khusus untuk pembangunan institusi pondok dan program pengukuhan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kewajipan memperkukuhkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengikut huraian aliran Asha’irah dan Maturidiah serta menolak fahaman dan huraian yang bertentangan seperti Syiah, Muktazilah, Khawarij, Wahabi, ajaran kebatinan yang karut, liberalisme, pluralisme dan lain-lainnya.

7. Sahibus Samahah Mufti dan Ahli Majlis Fatwa hendaklah dilantik daripada kalangan ulama yang mendukung akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Asha’irah Maturidiah serta mengutamakan dan mendahulukan huraian fuqaha’ Mazhab Imam Shafi’e serta tidak keluar daripada pendapat fuqaha’ Ahli Sunnah Wal Jamaah.

8. Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan perlu menyelaraskan serta memantau bagi memastikan pengajaran akidah di masjid dan surau di negeri ini diajar menggunakan kitab serta huraian yang sejajar dengan aliran Asha’irah dan Maturidiah.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/…/bukan-kefahaman-ulama…

Leave a comment