Tujuh Adab (Tugas) Masyarakat Awam Terhadap Nas-nas Mutashabihat Menurut Para Salafus Soleh


Tujuh Adab (Tugas) Masyarakat Awam Terhadap Nas-nas Mutashabihat Menurut Para Salafus Soleh


Al-Imām al-Mujaddid [kurun ke-5 tanpa khilaf] Ḥujjat al-Islām, Zayn al-Dīn, Abū Ḥāmid, Muḥammad al-Ghazālī al-Shāfiʿī al-Ashʿarī (w.505H) telah menggariskan panduan dan manhaj yang sangat jelas bagi berinteraksi dengan nas-nas mutashabihat berdasarkan amalan para Salafus Soleh.

Di dalam kitab beliau “Iljām al-ʿAwām ʿan ʿIlm al-Kalām”, beliau telah menyusun dan menghuraikan tujuh (7) tugas atau adab bagi masyarakat awam khasnya agar tidak tergelincir dari hakikat pegangan para Salafus Soleh di dalam masalah ini.

Tujuh (7) tugas atau adab tersebut ialah:


Pertama (1): Al-Taqdīs (Mentaqdiskan/التقديس)

Mensucikan Allah daripada jismiyyah (sifat-sifat jisim) dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

[Tambahan penterjemah: Di antara sifat-sifat jisim ialah: mempunyai tempat, mempunyai arah, mempunyai saiz, bersambung dan/atau berpisah, bergerak dan/atau diam, mempunyai juzuk atau anggota dan seumpamanya]

Kedua (2): Al-Taṣdīq (Membenarkan/التصديق)

Beriman dengan sabdaan Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم dan apa yang Baginda صلى الله عليه وسلم sabdakan adalah benar; dan Baginda صلى الله عليه وسلم dalam sabdaan Baginda صلى الله عليه وسلم adalah benar; dan apa yang Baginda صلى الله عليه وسلم sabdakan adalah benar dalam bentuk yang Baginda صلى الله عليه وسلم sabdakan dan maksudkan.

Ketiga (3): Al-Iʿtirāf bi al-ʿAjz (Mengiktiraf kelemahan diri/الاعتراف بالعجز)

Hendaklah seseorang itu mengakui dan mengiktiraf bahawa pengetahuan maksud hakikat sebenar [nas tersebut] adalah di luar kemampuannya; dan pengetahuan maksud hakikat sebenar itu bukanlah tanggungjawab dan pekerjaannya (iaitu tidak diperintah oleh Syariat untuk dia mengetahuinya).

Keempat (4): Al-Sukūt (Berdiam diri/السكوت)

Tidak bertanyakan makna sebenarnya dan tidak mendalami maknanya; dan hendaklah dia tahu bahawa pertanyaannya mengenai maknanya adalah bid’ah; dan pendalaman maknanya boleh membahayakan agamanya; dan dia boleh terjebak dalam kekufuran oleh sebab itu.

Kelima (5): Al-Imsāk (Menahan/الإمساك)

Tidak menukar bentuk nas-nas musthabihat tersebut dengan ditambah dan dikurangkan sebahagiannya; atau dikumpulkan [yang terpisah] atau diasingkan [yang terkumpul]; dan tidak menukarkannya (menterjemahkannya) ke bahasa yang lain ; bahkan nas-nas (al-Quran dan al-Hadith) tersebut tidak dibaca melainkan dengan bentuk, lafaz dan ibarat (susunan) yang asal [di dalam bahasa arab].

Keenam (6): Al-Kaff (Menegah/الكف)

Menegahkan dirinya daripada menyelidik dan memikir tentangnya.

Ketujuh (7): al-Taslīm li ahlih (Menyerahkan kepada yang ahli/التسليم إلى أهله)

Kalaulah seseorang itu tidak mampu memahami nas-nas tersebut kerana kelemahan dirinya, hendaklah dia tidak mengiktikad yang sedemikian (kelemahan) kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, para anbiya’, siddiqin dan awliya’.


[Kaedah ini sangat penting dan sepatutnya ditulis dengan dakwat emas. Sebarkan dan ajarkan kepada ahli keluarga dan saudara terdekat]

Semoga bermanfaat.

PENUNTUT ILMU


Kaedah 1-6 kaedah Tafwid ASWJ

Kaedah 7 menerima Takwilan (Tafsiran) oleh al-rasikhun fi al-Ilm

Adab bagi orang awam macam kita. 😎

Leave a comment