KAIFIAT DAN ADAB DA’WAH Syeikh Muhammad Abduh


KAIFIAT DAN ADAB DA'WAH

HIKMAH

"Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan nasihat-nasihat yang 
baik-baik, dan bertukar fikiranlah dengan cara yang lebih baik, 
sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, 
dan Dialah yang mengetahui siapa yang terpimpin." [An-Nahl:125]

Hikmah dalam erti "mengenal golongan":

Bila seorang pembawa da'wah sudah mengayunkan langkah, bermacam corak 
manusia yang akan dijumpainya.

Dia akan berhadapan dengan fahaman-fahaman dan pegangan-pegangan 
tradisional yang sudah berurat dan berakar; dengan sesetengah orang yang 
mahu menolak tiap-tiap apa yang baru; dengan kegigihan orang yang ingin 
mempertahankan kedudukan pendapatnya, dan yang bimbang kalau-kalau 
apa-apa yang hendak disampaikan itu akan merugikannya; dengan kejahilan 
orang yang bodoh, yang reaksinya secara bodoh pula; dengan cerdik 
cendekiawan yang hanya mahu menerima sesuatu atas dasar hujjah dan 
keterangan-keterangan yang "nyata"; dengan orang-orang yang sangsi 
disebabkan oleh bemacam pendengaran-pendengaran atau
pengetahuan-pengetahuan yang serba-serbi; dan sebagainya.

Tiap-tiap jenis itu harus dihadapi dengan cara yang sepadan dengan 
tingkat kecerdasan, sepadan dengan alam fikiran dan perasaan serta 
tabiat masing-masing.

Ayat Al-Qur'an yang di atas mengandungi petunjuk-petunjuk pokok bagi 
Rasul dan para da'i, cara bagaimana menyampaikan da'wah kepada manusia 
yang berbagai jenis itu. Yakni:

"Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan nasihat-nasihat yang 
baik-baik, dan bertukar fikiranlah dengan mereka dengan cara yang lebih 
baik." (An Nahl:125)

Syeikh Muhammad Abduh (dalam Tafsir al-Manar, juz III) menyimpulkan dari 
ayat Al Qur'an di atas, bahawa dalam garis besarnya, ummat yang dihadapi 
seseorang pembawa da'wah dapat dibahagi atas tiga golongan, yang 
masing-masingnya harus dihadapi dengan cara yang berbeza-beza pula:

a.      Ada golongan cerdik-cendekiawan yang cinta kebenaran, dan dapat 
berfikir secara kritical, cepat dapat menangkap erti persoalan. Mereka 
ini harus dipanggil dengan "hikmah": yakni dengan alasan-alasan, dengan 
dalil dan hujjah yang dapat diterima oleh kekuatan aqal mereka.

b. Ada golongan awam, orang kebanyakan yang belum dapat berfikir secara 
kritical dan mendalam, belum dapat menangkap pengertian-pengertian yang 
tinggi-tinggi. Mereka ini dipanggil dengan "mauidzatun-hasanah", dengan 
anjuran dan didikan yang baik-baik, dengan ajaran-ajaran yang mudah 
difahami.

c.      Ada golongan yang tingkat kecerdasannya di antara kedua golongan 
tersebut, belum dapat dicapai dengan "hikmah", akan tetapi tidak akan 
sesuai pula bila dilayani seperti golongan awam; mereka suka membahas 
sesuatu, tetapi hanya dalam batas yang tertentu, tidak sanggup mendalam 
benar.

Mereka ini dipanggil dengan "mujadalah billati hiya ahsan"; yakni dengan 
bertukar fikiran, untuk mendorong supaya berfikir secara sihat, dengan 
satu dan lainnya dengan cara yang lebih baik.

Demikianlah Syeikh Muhammad Abduh, kesemuanya dapat disimpulkan dalam 
kalimat: 

"Berbicaralah kepada manusia menurut kadar aqal (kecerdasan) mereka 
masing-masing" 

Hadith yang lengkap berbunyi:

"Kami diperintah supaya berbicara kepada manusia menurut kadar aqal 
(kecerdasan) mereka masing-masing" [Rowahu Muslim]

Ini tidaklah bererti bahawa menghadapi golongan awam selalu akan lebih 
mudah daripada menghadapi golongan cerdik-cendekiawan. Memang menghadapi 
cerdik-cendekiawan itu memerlukan ilmu yang agak luas dan mendalam. Akan 
tetapi seringkali mereka ini, dengan sekadar sindiran atau karenah saja 
sudah dapat menangkap apa yang dimaksudkan; dengan sedikit pancingan dan 
dorongan untuk berfikir, mereka dapat merintis jalan sendiri, dan 
akhirnya mencapai kebenaran.

Dan mereka akan terima kebenaran itu, apabila pada hujung jalan fikiran 
mereka itu tidak ada pula hawa nafsu yang menabiri(membentengi) antara 
mereka dengan kebenaran yang sudah kelihatan oleh mereka.

Kepada golongan awam cukup dikemukakan bahan-bahan yang sederhana. Tak 
ada gunanya membawakan pemikiran-pemikiran yang tinggi-tinggi. Akan 
tetapi cara, kaifat menghidangkan sesuatu yang sulit dalam bentuk yang 
mudah, tidak dapat dikatakan suatu perkara yang "mudah."

Demikianlah pula menghadapi golongan ketiga, yang dalam pembahagian 
golongan, sebagaimana yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Abduh itu, — 
letaknya "di antara" golongan cerdik cendekiawan dan golongan awam, dan 
harus dihadapi dengan "mujadalah billati hiya ahsan", tidaklah selalu 
akan lebih mudah daripada menghadapi golongan pertama (cerdik pandai), 
dan tidak akan selalu lebih sulit daripada golongan kedua (awam).

Golongan macam manapun yang akan dihadapi, masing-masingnya menghendaki 
cara yang mengandungi "kemudahan" dan "kesulitannya" sendiri.

Pokok persoalan bagi seseorang pembawa da'wah ialah bagaimana menentukan 
cara yang tepat dan efektif dalam menghadapi suatu golongan tertentu 
dalam suatu keadaan dan suasana yang tertentu.

[Fiqhud Da'wah]

Leave a comment