Kesan Buruk Akibat Meninggalkan Amalan “Zikir Berjemaah Selepas Solat” Di Zaman ini


Ini petikan sebuah kertas kerja yang al-faqir pernah sediakan bagi sebuah surau yang pernah timbul isu berzikir secara berjemaah di kalangan mereka. (sudah terlalu lama dahulu – mungkin sekitar 2010 atau sebelumnya)

* * * * * * *

Kesan Buruk Akibat Meninggalkan Amalan “Zikir Berjemaah Selepas Solat” Di Zaman ini

Di sana terdapat ramai ulama’ yang menyatakan bahawa zikir selepas solat secara jahar adalah bertujuan untuk mengajar dan sekiranya makmum telah belajar maka disunatkan zikir secara perlahan. Jika diteliti secara mendalam kenyataan ini, ia memberi maksud pihak imam perlulah menilai tahap keilmuan dan amalan di kalangan para makmumnya bagi menentukan zikir yang terbaik iaitu sama ada secara jahar atau sirr (senyap).

Lihatlah kata-kata Imam al-Shafie rah.a. di dalam kitab al-Umm di bawah:

وأى إمام ذكر الله بما وصفت جهرا أو سرا أو بغيره فحسن واختيار للامام والمأموم أن يذكر الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان الذكر إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه ثم يسر

Maksudnya: “Dan mana-mana imam yang berzikir kepada Allah seperti mana yang aku sebutkan sama ada secara jahar atau senyap atau selainnya maka ia adalah BAIK. Dan pilihan bagi imam dan makmum ialah berzikir kepada Allah setelah selesai solat dan memperlahankan zikir melainkan sekiranya dia adalah imam yang orang lain wajib belajar daripadanya maka hendaklah dia menjaharkan zikirnya sehinggalah dia melihat bahawa orang lain telah belajar daripadanya maka kemudian dia berzikir secara senyap.”

Maka, hukum berzikir secara jahar dan senyap selepas solat pada hakikatnya kedua-dua adalah baik kerana kedua-duanya mempunyai dalil.

Namun begitu, dalam menentukan hukum dan amalan yang lebih patut dan utama, ia sebenarnya bergantung kepada zaman dan hal ehwal masyarakat setempat.

Sekiranya kita lihat pada zaman ini di dalam masyarakat awam Malaysia, maka kita pasti akan menyatakan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran sebenarnya berterusan kerana:

• Kefahaman masyarakat Malaysia/Melayu di dalam memahami dan menghafal zikir-zikir selepas solat tidaklah sama seperti masyarakat Arab pada zaman dahulu (Salafus Soleh) mahupun sekarang.

• Tahap keilmuan agama masyarakat pada zaman ini bukanlah sama seperti zaman Salafus Soleh.

• Kewujudan generasi muda yang ramai dan berterusan menuntut proses pembelajaran berterusan. Bahkan masih ramai generasi yang telah berumur tidak mempunyai pengetahuan atau menghafal zikir selepas solat.

• Proses pembelajaran menuntut agar ilmu diajar secara berulang-ulang.

Di sini penulis menukilkan dua bukti yang menunjukkan bahawa meninggalkan zikir berjemaah selepas solat fardhu PADA ZAMAN INI memberi kesan yang negatif kepada tahap keilmuan dan amalan masyarakat Islam.

[BUKTI 1]

Hasil kajian satu penyelidikan yang pernah dijalankan oleh penyelidik sebuah universiti berkenaan keupayaan masyarakat “sebuah negeri di utara Malaysia” yang tidak mengamalkan zikir berjemaah selepas solat mendapati bahawa ramai remaja/anak-anak muda yang tidak mengetahui tentang zikir-zikir tersebut bahkan ada yang tidak mengetahui doa untuk ibu bapa.

Pada pendapat penulis, kejahilan ini boleh memberi kesan sehingga umur mereka meningkat dan ditakuti satu hari nanti akan timbullah generasi berumur yang tidak tahu berzikir atau berdoa selepas solat.

[BUKTI 2]

Guru Usul Fiqh penulis di Jordan, Dr. Abdurrauf Kharabshah menceritakan bahawa Al-Shahid al-Sheikh Abdullah al-Azzam mempunyai sebuah masjid di Jordan dengan nama Masjid al-Sheikh Abdullah al-Azzam. Pada mulanya, beliau menasihati imam yang bertugas di Masjid beliau agar tidak berzikir secara berjemaah selepas solat kerana ditakuti sebagai bid’ah dan agar setiap imam dan makmum berzikir secara individu. Maka selepas dua tahun amalan berzikir secara berjemaah selepas solat fardhu tidak diamalkan, beliau melihat masyarakat awam mula meninggalkan zikir dengan terus bangun meninggalkan masjid setelah selesai salam. Hampir-hampir tidak ada orang yang berzikir selepas solat.

Beliau pun mula menyuruh agar si imam berzikir secara berjemaah selepas solat. Maka imam tersebut berkata: “Bukankah dulu kamu kata ia sebagai bid’ah?!”. Maka al-Shahid al-Sheikh Abdullah al-Azzam berkata: “Andailah ianya bid’ah, letakkan semuanya di atas kepalaku (tanggungjawabku). Sesungguhnya aku melihat manusia telah meninggalkan zikir.”

* * * *

Kisah ini memberi gambaran bahawa para ulama’ perlulah memahami zaman dan masyarakatnya agar meletakkan hukum yang terbaik di tempatnya.

Fiqh itu sebenarnya bukanlah mengetahui dalil semata-mata, sebenarnya ia adalah berkenaan beramal dengan dalil dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya.

Apabila zaman dan masyarakat berubah, maka tempat hukum juga berubah. Perubahan tempat hukum membawa kepada perubahan hukum.

Bagi menyepurnakan manfaat kertas kerja ini, penulis meletakkan al-Awrad al-Qushashiyyah bagi dijadikan amalan zikir selepas solat secara berjemaah mahupun individu.

Leave a comment